Photo Blogging

By: Tok Ngulu

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Thursday, 11-Jan-2007 18:49 Email | Share | Bookmark
KESAH SEBUAH BANDAR

 
 
 
 
 
 
On progress-pembanguan di Kampong Gajah Mati


Lahir nya Kota Bharu sebagai pusat pemerintahan bagi negeri Kelantan ialah kerana ibu negeri yang sebelumnya iaitu Kota Saba yang dahulunya terletak berhampiran dengan Tambatan Diraja sekarang ini disebabkan ianya kerap kali di landa banjir dan runtuh kedalam Sungai Kelantan, Sultan pada masa itu almarhum Sultan Mohd. Ke-II (Long Senik bin Long Tan) berpendapat ia harus dipindahkan ke tempat lain. Pada tahun 1844 Baginda telah memerintahkan agar didirikan sebuah istana baru di kawasan yang lebih selamat dari ancaman banjir dan tanah runtuh untuk dijadikan pusat pemerintahan.
Pada tahun tersebut Baginda telah merasmikan perisytiharan nama Kota Bharu sebagai ibu negeri Kelantan mengambil sempena kota yang baru didirikan itu. Bagi mengelakkan kesamaran nama nama ibu negeri iaitu Kota Bharu yang sama dengan nama istana tersebut, baginda menitahkan supaya nama istana ditukar kepada nama Istana Balai Besar.

Sejak terdirinya Istana Balai Besar dan bandar Kota Bharu dalam tahun 1844, rakyat mula membina rumah kediaman dan kampong halaman mereka masing-masing di sebelah hilir dan hulukawasan Buluh Kubu atau Dalam Kubu. Akhirnya menjadi sebuah perkampungan yang besar. Pada mulanya Kota Bharu mempunyai keluasan 10.12 hektar yang dikelilingi oleh parit sebagai kubu dan dipagari pula oleh pokok-pokok buluh. Didalam kawasan kubu itulah didirikan rumah-rumah kediaman kerabat diraja, orang besar istana dan juga rumah-rumah orang berjasa kepada raja dan negeri. Manakala rakyat biasa di sekitar kawasan nya. Kawasan yang agak penuh sesak pada waktu itu ialah dikawasan hilir bandar Kota Bharu yang dikenali dengan nama Kampung Masjid dan Kubang Pasu atau Kampung Balik Hilir. Pada sebelah hulunya meliputi Jalan Haji Chik Su (Kampung Gajah Mati) dan Jalan Tok Hakim.

Pusat perniagaan dan pasar besar Kota Bharu mula-mulanya terletak ditepi Sungai Kelantan (tapak hotel River View sekarang). Pada masa itu kawasan tersebut adalah kawasan padang dan penuh dengan hutan belukar.

Bandar Kota Bharu mula berkembang pesat sejak dari tahun 1903 apabila satu pentadbiran baru diasaskan. Pada pertengahan tahun 1902 Perjanjian Inggeris dan Siam telah ditandatangani, dimana kerajaan Inggeris dan Siam bersetuju memperakui negeri Kelantan dibawah naungan Siam yang ditadbirkan secara Sistem Penasihat (Advisory System) oleh Residen dan Penolong Residen yang dipangku oleh William Armstrong Graham dan H.W Thompson telah tiba di Kota Bharu dari Bangkok. Pentadbiran baru di negeri Kelantan itu terkenal dengan nama Pentadbiran Graham yang berjalan selama 7 tahun dari 25hb. July 1902-15h. July 1909. Pejabat Setiausaha Kerajaan pada masa itu terletak di sebelah hadapan Istana Balai Besar sekarang dan terkenal dengan panggilan “opis panjang” atau “opis pohon celagi”.

Dalam tempuh 7 tahun banyak lah perubahan yang berlaku baik dalam bidang pentadbiran negeri Kelantan mahupun pada Bandar Kota Bharu khususnya. Beberapa jabatan kerajaan di wujudkan, antaranya:

1. Pejabat Khazanah (Perbendaharaan) – bertempat di sebuah rumah kecil didalam dalam kawasan Istana Balai Besar.

2. Mahkamah Rendah, Tengah dan Tinggi – bertempat di bangunan baru yang berhampiran dengan rumah kediaman Menteri Besar, Datuk Hassan Muhd. Salleh. Sekitar bangunan tambahan Masjid Besar Muhammadi (sebelah hulu berhadapan dengan Padang Merdeka)



3. Pejabat Penjara – terletak disekitar kawasan Hotel Temenggong sekarang dan pada zaman itu penjara tersebut terkenal dengan nama “Gok Buruk” yang terletak di kawasan seberang jalan bertentangan dengan dengan bangunan Hotel Temenggong yang menghala ke Sungai Kelantan. Pada tahun 1907 sebuah penjara baru dibina dikawasan Padang Perdana (dahulu terkenal dengan nama Padang Churchill) berhampiran dengan Stadium Sultan Mohd. Ke-IV sekarang. Pada tahun 1950 sebahagian penjara ini telah dirobohkan dan di pindahkan ke Pengkalan Chepa. Sebahagian daripada bangunan penjara itu sekarang telah diduduki oleh Pejabat Kesihatan sekarang (unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor)



4. Pejabat dan Balai Polis – terletak dikawasan Jabatan Kastam dan Eksais sekarang yaitu ditepi Sungai Kelantan)



5. Pejabat Pos – terletak di kawasan tiang bendera Padang Merdeka.

6. Pejabat Pelajaran – dihadapan Pejabat Jajahan dan Tanah Kota Bharu sekarang.

7. Hospital – sama kawasan dengan Pejabat Pelajaran. Sebelum ini bangunan hospital terletak dikawasan kilang mancis di Sungai Keladi.

8. Pasar Besar – dalam tahun 1907 pasar ini terletak di sebelah hilir Panggung Lido sekarang (kawasan River View Hotel). Pasar ini terbakar pada tahun 1927, lalu dibina yang baru yaitu Pasar MPKB sekarang.

Pada tahun 1910 negeri Kelantan telah diserahkan oleh Siam kepada Inggeris dibawah Perjanjian Inggeris-Siam tahun 1909. Bandar Kota Bharu terus berkembang secara beransur ansur. Pada tahun 1912 cawangan Mercantile Bank telah dibuka di Kota Bharu (bank pertama di Kelantan). Bangunan bank ini masih lagi ada sampai sekarang ini (Bank Kerapu) dan terletak di sebelah hilir Padang Merdeka. Tapak bangunan bank itu asal nya tapak rumah kediaman Nik Yusoff Nik Abd. Majid bergelar Datuk Seri Paduka yang menjadi menteri besar Kelantan antara tahun 1844-1900.

Pada tahun 1925 Masjid Muhammadi yang ada sekarang ini siap dibina. Bangunan masjid baru itu ialah masjid batu bagi menggantikan masjid kayu yang lama yang telah dibina pada tahun 1867. Perletakan batu asas pembinaan Masjid Muhammadi telah dilakukan oleh Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhamad ke-IV pada 21 Ogos 1922 (28 Zulhijjah 1340H)

Pada tahun 1926 bandar Kota Bharu mula menggunakan letrik yang dibekalkan oleh sebuah jentera sederhana yang ditempatkan di sebuah bangunan di Jalan Tok Hakim. Pada masa itu ibusawat letrik terletak di Lundang, Jalan Pasir Puteh (sekarang sudah tiada kerana kita pakai sistem grid kebangsaan yang berpengkalan di Paka,Terengganu) Bekalan letrik mula digunakan dalam bandar Kota Bharu pada akhir tahun 1926 dan pada awal 1927 lampu-lampu minyak jalanraya dalam Bandar Kota Bharu beransur-ansur digantikan dengan lampu letrik yang dikendalikan oleh Pejabat Kerja Raya pada masa itu.

Pada tahun 1929, Hospital Besar Kota Bharu yang baru mula dibina disatu kawasan di Kampung Padang Garong (tempat sekarang ini). Sebelum itu ianya dikenali sebagai Hospital Umum Kota Bharundan terletak disatu kawasan berhadapan dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu sekarang.

Pada tahun 1932, Pasar Kubang Pasu telah siap dibina disatu kawasan paya yang telah ditebus guna. Pada tahun 1935 bekalan air paip mula dgunakan didalam kawasan bandar Kota Bharu. Sebelum daripada itu penduduk Bandar Kota Bharu menggunakan air perigi atau telaga ataupun air dari Sungai Kelantan bagi mereka yang tinggal berhampiran dengan tebing sungai.

Bagi tujuan menjadikan nya ibu negeri, mulai tahun 1939 bandar Kota Bharu telah diwartakan sebagai sebuah bandar dan ditadbir oleh Lembaga Bandran Kota Bharu dan pentadbiran ini ditukar kepad Majlis Bandaran Kota Bharu pada tahun 1953. Pada tahun 1971 pula Majlis Bandaran Kota Bharu telah dimansuhkan dan ditukar kembali ketaraf Lembaga Bandaran Kota Bharu. Pada tahun 1978 Lembaga Bandaran Kota Bharu telah dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB). Pada tahun 2005, kerajaan negeri telah memberi nama baru yaitu Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI). Jumlah keluasan kawasan dibawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu ialah 115km persegi berbanding hanya 10.12 hektar pada di awal penubuhan nya.

Menyorot kembali sejarah bandar Kota Bharu, pada tahun 1942 iaitu pada zaman pemerintahan jepun, sebuah bangunan baru pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan telah didirikan di Padang Gimlette (sempena nama Dr. J.D Gimlette pegawai perubatan pertama di negeri Kelantan: 1909-1919). Bangunan ini satutingkat sahaja dan dibina menggunakan kayu chengal. Mengikut cerita, bangunan kayu ini telah dipindahkan dari Temangan di Machang. Bangunan ini kepunyaan syarikat bijih Jepun yang ditutup menjelang Perang Dunia ke-II.

Pada tahun 1973 Pejabat Setiausaha Kerajaan telah berpindah ke bangunan baru di persimpangan Jalan Hospital dan Jalan Doktor (Komplek Majlis Perbandaran Kota Bharu sekarang). Dengan siap nya bangunan baru di Kampung Puteh, Jalan Kuala Krai, maka bermulalah pula era baru pejabat Setiausaha Kerajaan di kompleks “Kota Darulnaim”

Kini Kota Bharu mempunyai masa depan yang cerah, dengan siapnya Lebuhraya Timur-Barat dari Jeli ke Grik, Perak dan Lebuhraya Gua Musang, masa perjalanan dari Kota Bharu ke Pantai Barat dapat dipendekkan. Penumpuan kerajaan ini ialah untuk memajukan Bandar Kota Bharu selaras dengan taraf nya sebagai ibu negeri Kelantan. Disamping itu, factor lain boleh menjadikan Kota Bharu sebuah Bandar berkembang maju ialah pengwujudan Kawasan Perindustrian I dan II di Pengkalan Chepa. Pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dan pembinaan Hospital Besar Kota Bharu dan Hospital Universiti Sains di Kubang Kerian.

Sejarah menunjukkan Kelantan mewarisi Sejarah Kebudayaan Melayu yang unik yang mencerminkan sifat,watak dan keperibadian Melayu. Kehidupan seluruh rakyat Kelantan tergambar melalui Bandar Kota Bharu yang menjadi pusat pentdbiran dan kebudayaan seperti seni persembahan, senibina,senikraf,seni pertukangan dan lain-lain sehingga Kota Bharu diisytiharkan sebagai Kota Budaya. Walaupun usaha-usaha memodenkan bandar Kota Bharu pesat dijalankan oleh MPKB-BRI, namun cirri-ciri ketimuran dan nilai nilai Islam tetap terpelihara.

Sejarah bandar Kota Bharu ini memang penuh dengan peristiwa suka dan duka. Kejayaan Kota Bharu berkembang maju menunjukkan kebijaksanaan nenek moyang kita memilih tapak bagi dijadikan “growth pole” atau pusat kemajuan sesuatu daerah. Kita patut berbangga dan merasa terhutang budi atas jasa dan pandangan jauh peneroka-peneroka dahulu yang telah mewariskan Bandar yang indah ini kepada warga bandar Kota Bharu.

(Muzium-Muzium di Kelantan oleh: Hj. Salleh Hj. Mohd. Akib, Abustari Yaacob, Wan Jaafar Jusoh dan Sabki Ibrahim)


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net